Kerajaan komited tingkatkan industri ruminan

44

27 JULAI: Kerajaan menyasarkan pengeluaran daging dan susu segar tempatan dapat ditingkatkan sebanyak 111,000 tan metrik daging dan 20 juta liter susu segar dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ia bagi mencapai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) untuk pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia mampu dicapai menerusi Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (DAIRY PLAN 2021-2025) yang menumpukan pelbagai inisiatif dan insentif melalui strategi-strategi khusus bagi membangunkan industri ruminan Negara.

“Pelan-pelan ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan untuk membangunkan industri pedaging dan tenusu melalui pendekatan sistem penternakan yang efisien, peningkatan kapasiti pengeluaran, pengekalan kos pengeluaran yang optimum serta memperkukuh pengurusan di sepanjang rantaian nilai,” katanya.

Beliau melancarkan BIF PLAN 2021-2025dan DAIRY PLAN 2021-2025 ketika merasmikan Simposium Ruminan 2021 anjuran Jabatan Perkhdimatan Veterinar (DVS) secara maya, hari ini.

Ronald berkata, pembangunan lembah tenusu juga akan diteruskan dalam tempoh RMK-12 di beberapa kawasan baharu termasuk di Lembah Tenusu Selatan di Melaka dan Johor, Lembah Tenusu Borneo di Sabah dan Sarawak, dan Lembah Tenusu Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, katanya, program transformasi usahawan skala besar dan transformasi penternak kecil melalui kaedah bayaran balik dan geran padanan juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan populasi induk lembu susu tempatan.

Bagi industri pedaging pula, katanya, program-program seperti Skim Rezeki Ternak bagi penternak kecil, Program Peningkatan Ruminan untuk penternakan integrasi dan pembangunan 67 buah ladang satelit di Kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPR) serta Projek Pertanian Moden (PPM) dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pengusaha-pengusaha penternakan ruminan meliputi skala kecil, semi komersial dan komersial dalam mencapai sasaran pengeluaran 111,000 tan metrik menjelang tahun 2025.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga akan memberikan insentif bagi pengukuhan model aktiviti pengeluaran daging di zon-zon khusus bagi projek fidlot ruminan melalui skim pengukuhan rangkaian fidlot dari integrasi dan tenusu (Skim FIT) seperti mana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

“Bagi meningkatkan kemampanan dan pertumbuhan industri ternakan serta tahap sekuriti makanan negara untuk hasilan ruminan secara keseluruhannya, Lembaga Ruminan Negara yang telah dipersetujui dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) akan ditubuhkan dan dijangkaberoperasi secara berfasa bermula pada tahun 2022, yang juga selari dengan hala tuju MAFI dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 2021- 2030 (DAN 2.0).

“Kesemua strategi yang dirangka oleh Kerajaan memerlukan kerjasama yang erat dan komitmen berterusan semua pihak bersama-sama dengan MAFI dan DVS serta pemain-pemain industri terutama para penternak sebagai pemegang taruh penting,’’ katanya.

Industri ternakan ruminan di Malaysia merupakan satu industri yang penting sebagai sumber protein negara dan menjadi salah satu industri utama agromakanan negara dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 bernilai RM15 billion.

Ia juga menyediakan sumber pendapatan yang menguntungkan kepada semua pihak yang terlibat di sepanjang rantaian nilai termasuk penternak, khususnya menerusi pengeluaran daging, telur, susu dan produk hasilannya.

“Berdasarkan kepada keperluan semasa, industri ini sangat berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara dan mengurangkan import memandangkan Malaysia amat bergantung kepada pengimportan daging, susu dan produk tenusu bagi memenuhi permintaan dalam negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.