Hubungan Korea Selatan-Korea Utara kembali pulih

46

27 JULAI: Hubungan Korea Selatan dan Pyongyang memasuki fasa baharu apabila kedua-dua negara  mengumumkan talian hotline atau komunikasi rentas sempadan dipulihkan hari ini.

KCNA melaporkan kesemua saluran komunikasi antara Korea kembali beroperasi pada jam 10 pagi (waktu tempatan).

Pengumuman bersama itu pada ulang tahun ke-68 yang menandakan berakhirnya Perang Korea 1950-53.

Ia perkembangan positif pertama sejak siri sidang kemuncak antara Presiden Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 2018 gagal untuk mencapai sebarang kesepakatan.

“Kedua-dua pemimpin sepakat membuat langkah besar untuk memulihkan kepercayaan bersama dan mempromosikan perdamaian dengan memulihkan talian hotline antara Seoul dan Pyongyang,” lapor KCNA.

Jae-in dan Jong-un juga dilaporkan saling menghantar surat sejak April lalu.

Pada Jun 2020, Korea Utara bertindak memutuskan saluran komunikasi politik dan tentera rasmi sebagai respons terhadap tindakan kumpulan aktivis Korea Selatan yang menghantar risalah anti-Pyongyang di sepanjang sempadan hingga mengeruhkan hubungan di Semenanjung Korea.

Beberapa hari selepas memutuskan talian hotline itu, Pyongyang turut meletupkan pejabat perhubungan antara Korea di sebelah sempadannya dan mengancam untuk meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan di Zon Bebas Tentera.

Sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengambil alih Rumah Putih, Pyongyang dan Washington menggunakan pendekatan tunggu dan lihat setelah hubungan dengan pentadbiran pendahulunya, Donald Trump gagal mencapai perjanjian walaupun telah mengadakan tiga sidang kemuncak.

Pada bulan lalu, diplomat AS yang bertanggungjawab dalam rundingan Korea Utara, Sung Kim mengesahkan Washington bersedia untuk bertemu dengan Pyongyang pada bila-bila masa tanpa prasyarat.

Bagaimanapun, Kim Yo-jong yang merupakan adik dan penasihat utama kepada Jong-un menolak bulat-bulat tawaran itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.