Hishammuddin tekad beri yang terbaik

47

27 JULAI: Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein , bertekad untuk menggalas tugas baharunya yang bermula hari ini dengan sebaiknya.

Beliau membuat penyataan itu dalam kenyataan pertama mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Hishammuddin juga menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melaksanakan tugasan tersebut sejak 20 Mac 2020 sehingga semalam.

“Insya-Allah, saya akan teruskan tugasan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Menurut Hishammuddin, mulai hari ini sidang media mahupun kenyataan media harian berkaitan pasukan petugas operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak COVID-19 akan diselaras dan dikeluarkan oleh pihaknya.

“Selaku Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), saya akan menerima serta memaklumkan laporan mengenai pematuhan SOP, kawalan sempadan negara serta perkara-perkara lain daripada setiap agensi yang terlibat, katanya.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan adalah penting bagi memberi penjelasan kepada rakyat, mengenai situasi semasa keselamatan khususnya dalam tempoh pelaksanaan PPN ketika ini.

Semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan, mengumumkan Hishammuddin akan mengambil alih pengumuman mengenai perkembangan harian aktiviti penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.