AS akhiri misi ketenteraan di Iraq

27

27 JULAI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pasukan tentera negara itu akan mengakhiri misi ketenteraan di Iraq menjelang hujung tahun ini.

Biden berkata kesepakatan itu dicapai ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi, semalam.

Sehubungan itu, pasukan tentera AS akan membantu melatih serta memberi khidmat nasihat kepada ketenteraan Iraq.

“Biarpun tentera AS sudah keluar sepenuhnya dari Afghanistan, masih ada 2,500 tentera AS di Iraq tetapi mereka tidak akan menyertai operasi perang,” katanya.

Selama 18 tahun selepas AS menyerang Iraq untuk menyingkirkan Saddam Hussein dan tujuh tahun memerangi militan yang mengancam negara itu, Washington kini mengalihkan tumpuannya kepada jenis bantuan lain.

Antaranya termasuk mengukuhkan bekalan tenaga elektrik, pemberian 500,000 dos vaksin COVID-19, menghadapi kesan perubahan iklim dan menyokong pembangunan sektor swasta.

Biden juga menekankan sokongan AS untuk pilihan raya pada Oktober ini di Iraq dengan mengatakan Washington bekerjasama rapat dengan Baghdad, Majlis Kerjasama Teluk dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan pilihan raya itu adil.

“Kami menyokong pengukuhan demokrasi Iraq dan kami ingin memastikan pilihan raya berjalan baik,” katanya.

Sementara itu, Kadhemi berkata kehadirannya di Washington adalah untuk membincangkan masa depan negara.

“AS membantu Iraq, bersama-sama kita berjuang, melawan dan mengalahkan Daesh.

“Hari ini, hubungan kita lebih kuat daripada sebelumnya, antara lain perkongsian dalam ekonomi, persekitaran, kesihatan, pendidikan, budaya dan banyak lagi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.