27.7 juta individu telah daftar MySejahtera setakat semalam

38

27 JULAI: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa sehingga semalam MySejahtera telah berjaya mencapai 27.7 juta pengguna aktif yang berdaftar dan 2.44 juta premis perniagaan berdaftar.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata MySejahtera telah merekodkan 6.7 billion jumlah kumulatif check-in ke premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 19.3 juta check-in sehari.

Beliau berkata Aplikasi MySejahtera juga digunakan untuk mengesan kes-kes positif COVID-19 melalui penilaian kesihatan kendiri oleh pengguna dan pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera.

“Sistem amaran awal, Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) juga telah dibangunkan pada April 2021 menggunakan data dan sistem MySejahtera Sistem ini bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan COVID-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

“Sistem HIDE boleh mengenal pasti sesuatu kawasan dan premis yang berisiko atau berpotensi menjadi hotspots atau pusat penyebaran jangkitan COVID-19 melalui analisis data raya (big data) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence),” katanya pada sesi penerangan mengenai ‘Tindakan Menangani Pandemik COVID-19 sempena  Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Datuk Seri Dr Adham Baba

Dr Adham berkata, fungsi MySejahtera kini terus diperluaskan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai sijil vaksin digital bagi COVID-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata sijil ini boleh diakses melalui paparan pada ikon ‘Profile’ di aplikasi MySejahtera milik individu yang terlibat.

Dalam pada itu, Dr Adham turut mengesahkan sehingga 19 Julai 2021, sebanyak 6 jenis vaksin COVID-19 telah didaftarkan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) iaitu Pfizer, Astra Zeneca, Sinovac, CanSino, Sinopharm dan Johnson & Johnson.  

“KKM bertanggungjawab untuk membuat perolehan vaksin yang mencukupi bagi mencapai imuniti kelompok menjelang penghujung tahun 2021. Sehubungan itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah membuat perolehan bagi mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi untuk populasi Malaysia.

“Sehingga kini, sebanyak 79.9 juta dos vaksin telah ditempah oleh KKM daripada beberapa pengeluar dan pengilang vaksin COVID-19, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM3.9 bilion,” katanya.

Beliau berkata KKM juga mewujudkan Program Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau Mental Health Psychosocial Support (MHPSS) untuk membantu petugas barisan hadapan dan masyarakat yang terkesan dari segi emosi dan psikologi melalui mobilisasi pasukan MHPSS ke lapangan.

“KKM turut melaksanakan Latihan Bantuan Awal Psikologi (Psychological First Aid) kepada pemberi khidmat kesihatan dan sukarelawan agensi lain bagi memperkasakan pengendalian emosi semasa pandemik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.