KKM Bekal Kit Ujian Kendiri Kepada Ahli Parlimen

81

26 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) telah membekalkan kit ujian kendiri menggunakan air liur iaitu Salixium COVID-19 Rapid Antigen Test kepada Parlimen sepanjang tempoh mesyuarat khas Dewan Rakyat bermula hari ini sehingga 2 Ogos depan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, ia boleh digunakan kepada semua yang hadir ke Parlimen, dalam usaha melakukan saringan secara berkala serta mengesan kes positif dengan lebih cepat.

“Kemudahan ujian RTK Antigen untuk air liur ada disediakan Parlimen berikutan KKM membekalkan test kit terbabit kepada Parlimen. Terima kasih kepada KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah).

“Semua Ahli Parlimen, pegawai dan semua yang hadir sepanjang mesyuarat ini, sila kunjungi klinik Parlimen untuk maklumat lanjut,” katanya ketika persidangan khas Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu kit ujian tersebut yang dilancarkan dan telah mendapat kelulusan baru-baru ini berupaya mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia dan persampelan melalui hidung.

Ia menggunakan teknologi immunoassay aliran lateral, juga produk buatan Malaysia pertama daripada jenisnya dan sudah diluluskan untuk penjualan di negara ini oleh KKM.

Kit ujian itu boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan dan ujian kendiri di rumah.

Sebelum ini,ujian saringan banyak dilakukan menggunakan Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) dan Real-Time ReverseTranscription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), dimana kedua-dua ujian ini menggunakan kaedah calitan melalui hidung atau tekak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.