Kerajaan tidak akan biar rakyat menderita-PM

29

26 JULAI : Kerajaan hari ini mungkin tidak sempurna namun sesekali  ia tidak berpeluk tubuh dalam usaha untuk mengatasi penularan COVID-19 dan membiarkan rakyat di negara ini menderita, demikian tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan memahami keresahan dan kebimbangan rakyat apabila angka kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan.

“Kita tidak berpeluk tubuh sebaliknya kerajaan hari ini sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut dengan mempercepatkan program vaksinasi dan terbukti Malaysia pada hari ini adalah antara negara yang terpantas dalam memberi vaksin kepada penduduknya.

“Kerajaan sentiasa bergerak dan bertindak bagi menyelamatkan nyawa serta kehidupan rakyat dalam keadaan sukar seperti ini.

“Apa yang penting, kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini.

“Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari kerana di sana, ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala barisan hadapan kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan,” ujarnya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, beliau menyeru semua pihak berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usaha sama.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia.

Katanya lagi, beberapa langkah khusus sudah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat berkaitan isu kesihatan mental.

“Langkah yang diambil adalah seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan penyaluran dana kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan kesihatan mental,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.