Azmin minta Anwar jangan auta fakta COVID-19

50

26 JULAI: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menempelak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengemukakan fakta dan maklumat kurang tepat kononnya sektor pembuatan dan perkilangan menjadi punca utama penularan COVID-19 di Malaysia.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen BERSATU-Gombak, menjelaskan hanya 8.8 peratus kes jangkitan COVID-19 tempat kerja membabitkan sektor pembuatan antara 1 Jun hingga 23 Julai lalu.

Malah, Mohamed Azmin berkata, daripada 408,134 kes yang dicatatkan dalam tempoh yang sama, hanya 35,968 kes membabitkan sektor pembuatan.

“Data daripada Kementerian Kesihatan dan maklumat disediakan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis  Kebangsaan (CPRC) menunjukkan terdapat 408,134 kes daripada 1,203 kluster sepanjang tempoh dari 1 Jun hingga 23 Julai 2021.

AZMIN

“Daripada jumlah itu 69 peratus kes jangkitan dalam tempoh berkenaan ialah kes sporadik dan 31 peratus kes jangkitan daripada kluster.

“Jadi saya hendak jelas bagi satu sektor pembuatan hanya menyumbang 1,203 kes jangkitan atau 8.8 peratus daripada keseluruhan kes dalam tempoh berkenaan (penutupan menyeluruh),” katanya mencelah penggulungan Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan Anwar yang juga Ahli Parlimen PH-Port Dickson mengenai percanggahan data kes yang dibentangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dengan maklumat disampaikan Tengku Zafrul.

Berikutan itu Mohamed Azmin meminta Anwar yang mengemuka maklumat yang tidak tepat dan tidak mengemuka fakta dan bukti yang benar.

“Ini bukannya mesyuarat ranting parti PKR. Ini bukan ceramah. Jika hendak kemukakan data, kena berikan maklumat yang tepat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.