Bukan masa yang sesuai untuk bubar DUN Sarawak-SEDAR

41

26 JULAI  : Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Datuk Othman Abdillah menegaskan buat masa ini masih belum sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Katanya, ini memandangkan penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan pada masa ini dan keselamatan serta nyawa rakyat perlu diutamakan terlebih dulu.

“PRN-12 perlu ditangguh dan ditunda terlebih dahulu serta fokus kepada menyelesaikan pandemik COVID-19 yang masih belum menunjukkan trend penurunan kes setiap hari. Ia ditambah kemunculan kes varian Delta.

“Marilah kita mengambil pengajaran dari pelonjakan kes COVID-19 susulan pilihan raya Sabah lalu, yang kini meletakkan seluruh negara dalam situasi begitu serius.

“Jelas kita telah mengalami penderitaan dan kematian yang tidak perlu berlaku akibat keputusan cuai itu. Kita tidak seharusnya membahayakan nyawa rakyat kita lagi sekali,” kata menerusi satu kenyataan hari ini.

Datuk Othman Abdillah

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Bagaimanapun, proses pilihan raya boleh diadakan dalam tempoh 60 hari sekiranya DUN dibubarkan selepas perintah darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Sekalipun Sarawak katanya lagi dapat membendungkan jangkitan dalam tempoh masa sebulan dua yang akan datang atau menjelang akhir tahun ini, ia tidak akan tercapai untuk seluruh negara di mana lebih 20,000 kes baharu berlaku dalam sehari.

“Oleh itu, kemasukan ke Sarawak akan masih perlu dibatasi dengan syarat ujian calitan dan kuarantin COVID-19, ditambah batasan penerbangan ke Sarawak pada masa sekarang.

“Dengan keadaan demikian, ramai yang tidak akan mampu menanggung masa dan wang ringgit untuk kembali dan membuang undi,” katanya.

Pengundi Sarawak yang berada di luar akan terhakis hak perlembagaan mereka, keadaan itu adalah serupa satu penindasan kepada pengundi dan tidak demokratik, tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.