Bangkitkan isu rakyat, bukan persoal kerajaan gagal

82

26 JULAI : Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengingatkan semua Ahli Parlimen pembangkang agar membangkitkan perkara yang menjadi kepentingan buat rakyat dan bukanlah mempersoalkan kerajaan gagal di Persidangan Dewan Rakyat.

Nik Muhammad Zawawi yang juga merupakan Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh memberi sindiran sinis bahawa pembangkang merupakan punca sebenar negara menghadapi peningkatan COVID-19 disebabkan polemik politik yang berlaku.

“Saya rakamkan kepada rakan-rakan pembangkang, kalau bincang biarlah untuk masa depan, kalau nak ungkit, jangkitan yang paling tinggi adalah di Selangor. Punca tersebar COVID-19 di Sabah berpunca dari Yang Berhormat Semporna yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Permatang Pauh kerana itu ucapan yang matang yang mencadangkan perkara yang penting. Kalau (pembangkang) nyatakan kerajaan gagal menangani COVID-19, sediakan satu plan yang belum dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan,”katanya ketika sesi perbahasan Pelan Pemulihan Negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Nik Muhammad Zawawi turut mencadangkan agar kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat dalam masa terdekat agar kerajaan dapat memberi fokus melaksanakan program vaksinasi kepada rakyat di samping melaksanakan semak imbang peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam membantu rakyat menceburi bidang pertanian.

Sementara itu, Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyangkal dakwaan pembangkang menyatakan kerajaan gagal kerana hasil kajian membuktikan nilai pakej rangsangan ekonomi berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) yang ditawarkan kerajaan Malaysia lebih tinggi berbanding negara Asia lain.

Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari 

Beliau turut mencadangkan agar projek-projek yang menjadi kepentingan dan keperluan rakyat perlu diteruskan serta memastikan gerak kerja di peringkat bawahan melaksanakan dengan sebaiknya apa yang telah diputuskan oleh kerajaan.

“Data menarik menunjukkan Malaysia dari segi bantuan pakej rangsangan ekonomi untuk rakyatnya sebanyak 22.7 peratus berbanding GDP, di mana lebih tinggi berbanding Indonesia (4.9 peratus), Filipina (13.8 peratus), Singapura (9.3peratus) dan Thailand (12.9 peratus). Jadi tidak betul kerajaan ini gagal. Pada saya kerajaan belum berjaya sepenuhnya

“Saya turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan baucer untuk pelancongan domestik di samping baucer pembelian barang keperluan serta diskaun barangan mewah bagi meningkatkan tahap perbelanjaan di kalangan rakyat dan memberi suntikan dalam kegiatan ekonomi negara,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.