Umat Islam mula laksana ibadah umrah

26

25 JULAI: Kumpulan pertama jemaah umrah warga tempatan tiba di Masjidilharam awal pagi tadi, selepas selesai musim haji di Kota Suci itu.

Ketua Umum Urusan Dua Masjid Suci dengan kerjasama pihak berwajib sibuk mengatur kemasukan jemaah melalui pintu tertentu ke Masjidilharam termasuk memastikan pematuhan ketat pencegahan wabak dan penjarakan fizikal.

Pemangku Menteri Haji dan Umrah, Dr Issam bin Saad bin Saeed, berkata ibadah haji tahun ini berjalan lancar dan tiada kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan jemaah.

“Kita mencapai tujuan utama iaitu keselamatan jemaah daripada ancaman pandemik coronavirus.

“Tahniah dan syabas kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman atas kejayaan menganjurkan ibadah haji dalam norma baharu ini dengan jayanya,” katanya.

Tambah beliau, prosedur bagi jemaah umrah juga sama seperti jemaah haji, di mana semua diwajibkan mematuhi sekatan COVID-19.

Wakil Menteri Kesihatan Arab Saudi untuk Hal Ehwal Pencegahan, Dr Abdullah Asiri, berkata jemaah yang pulang selepas menunaikan ibadah haji tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 atau kuarantin bila tiba di bandar masing-masing.

Dalam pada itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut mengumumkan pihaknya dengan kerjasama Persatuan Orang Cacat Harakiya berjaya membantu 17 jemaah kelainan upaya menunaikan ibadah haji sehingga selesai tahun ini.

Kementerian itu, dalam satu kenyataan, menegaskan kelainan upaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.