Pulau Pangkor Capai Imuniti Kelompok Awal September Ini

78

25 JULAI: Seramai 8,026 daripada 11,500 penduduk Pulau Pangkor, Perak layak menerima vaksin menerusi projek rintis bagi Program COVID-19 Free Destination dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,002 orang telah menerima suntikan dos pertama serta seramai 1,056 orang pula telah lengkap kedua-dua dos manakala 5,968 masih belum menerima vaksin setakat 11 Julai lalu.

Menurut beliau, dengan pelaksaan program tersebut, penduduk Pulau Pangkor dijangka bakal mencapai sasaran 80 peratus tahap imuniti kelompok menjelang awal bulan September tahun ini.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung telah memulakan program outreach tiga hari seminggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad) untuk tempoh lapan minggu berturut-turut mulai 16 Julai 2021 dengan sasaran kapasiti pemberian vaksin seramai 540 orang sehari. 

“Berdasarkan rekod Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Manjung, pemberian dos pertama dijangka selesai pada 8 Ogos 2021 dan akan disusuli dengan dos kedua mulai 13 Ogos. Oleh itu, Pulau Pangkor dijangka mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada awal September ini,” katanya.

NANCY (kanan) mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Pulau Pangkor, Perak, hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi kenyatan media selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Pulau Pangkor, Perak, hari ini.

Program di Pulau Pangkor ini telah melibatkan kerjasama antara pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Manjung serta Pejabat Kesihatan Daerah Manjung bagi membantu melancarkan program imunisasi vaksin yang dijalankan secara outreach.

Di bawah tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan, Pulau Langkawi telah dipilih untuk dijadikan sebagai destinasi rintis Program COVID-19 Free Destination dan kemudiannya diperluaskan ke pulau-pulau peranginan tumpuan utama pelancong dalam Fasa Kedua. 

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan, Pejabat MOTAC Perak turut menghantar empat kakitangan sebagai sukarelawan bukan kesihatan untuk tempoh dua minggu berturut-turut. 

“Selepas ini seramai 25 orang sukarelawan telah dicadangkan termasuk MOTAC Negeri dan agensi-agensi MOTAC Negeri, wakil Kerajaan Negeri serta sukarelawan yang dikenal pasti oleh pihak CITF daerah Manjung untuk membantu program outreach yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, bagi menjayakan program outreach di Pulau Pangkor, MOTAC juga bekerjasama dengan Persatuan Pemandu Teksi Malaysia (PERTEKMA) Cawangan Pulau Pangkor bagi memudahkan urusan pergerakan keluar penduduk kampung untuk menerima vaksin. 

“Kempen Promosi Rindu Melancong? Jom Vaksin Dulu! turut giat dijalankan oleh Tourism Malaysia bagi menggalakkan lebih banyak pendaftaran dalam kalangan penduduk tempatan untuk divaksin.

“Program COVID-19 Free Destination yang digerakkan oleh MOTAC, antara lain bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan destinasi pelancongan negara sekali gus menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya. 

Pada masa yang sama, Nancy berkata, destinasi pelancongan utama di setiap negeri juga dalam perhatian semua Setiausaha Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan Program COVID-19 Free Destination berdasarkan kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi mengikut Fasa yang terdapat dalam Pelan Pemulihan Negara. 

“Saya menyeru penduduk di Pulau Pangkor untuk terus menyokong program vaksinasi yang dijalankan oleh kerajaan bagi memastikan pulau itu selamat dikunjungi oleh pelancong.

“Inisiatif ini juga sekaligus dapat menghidupkan kembali sektor pelancongan sebagai salah satu penjanaan aktiviti ekonomi penduduk tempatan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.