Malaysia kekalkan satu pembantu rumah untuk semua tugasan

100

25 JULAI: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bertegas kepada Indonesia dengan mencadangkan agar sistem sedia ada iaitu seorang pembantu rumah untuk semua tugasan bagi satu isi rumah masih dikekalkan. 

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KSM) hari ini yang memaklumkan cadangan tersebut dibuat semasa perbincangan secara dalam talian bersama Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah.

Kementerian itu berkata perkara tersebut dibincangkan oleh kedua-dua menteri berkenaan pada Mei lalu dan disusuli dengan perjumpaan dua hala dalam talian semalam.

“Perbincangan semalam turut melibatkan wakil daripada Wisma Putra, serta Kementerian Tenaga Kerja, Kementerian Luar Negeri dan Badan Perlindungan Buruh Asing republik itu.

SARAVANAN

“Perjumpaan awal antara kerajaan Malaysia dan Indonesia telah diadakan secara dalam talian pada Jumaat, 23 Julai lalu untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia di sini,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab permintaan Indonesia untuk membolehkan rakyatnya diambil sebagai pembantu rumah di negara ini di bawah sistem “satu pembantu rumah, satu tugas”.

Wakil Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur Agus Triyanto pada 2013 dilaporkan berkata kerajaannya, sebagai sebahagian daripada pelan lima tahun, tidak akan lagi menghantar warganya untuk bekerja sebagai pembantu rumah atau pekerja tidak formal di negara luar.

Beliau berkata majikan sebaliknya akan diberi pilihan untuk mengupah tukang masak, penjaga, pengasuh anak, atau pembantu rumah Indonesia yang bertauliah dengan gaji minimum yang ditetapkan sebanyak RM900 yang merupakan gaji minimum Malaysia pada masa itu.

Cadangan itu mendapat tentangan daripada pihak berkepentingan di Malaysia termasuk majikan yang berkata langkah itu tidak praktikal dan akan meningkatkan kos untuk mengambil pembantu rumah Indonesia.

Dalam pada itu, KSM memaklumkan ini bukanlah kali pertama Indonesia mencadangkan sistem “satu pembantu rumah, satu tugas” sebagai sebahagian daripada pembaharuan terhadap perundangan berkenaan penempatan warganya di negara luar.

“MoU yang sedang dalam rundingan ini bagi mengemas kini terma yang dipersetujui pada 2011 dan tamat pada 2016. Pelbagai usaha untuk menilai semula terma tertangguh sejak itu,” katanya. 

Sementara itu, mengenai perbincangan pada masa ini, KSM berkata hal-hal lain yang dibangkitkan menerusi pertemuan secara maya itu termasuk mewujudkan “sistem satu saluran” untuk pengambilan dan penempatan, gaji serta perlindungan pembantu rumah warga Indonesia.

“Penekanan diberikan kepada pengaturan sistem satu saluran untuk memastikan penempatan pembantu rumah Indonesia di sini teratur dan lebih telus, terutama berkenaan isu pembayaran gaji dan pemeriksaan kesihatan.

“Malaysia dan Indonesia secara prinsip sepakat untuk mengintegrasikan sistem sedia ada di kedua-dua negara untuk mewujudkan sistem satu saluran,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.