Kes Kematian Turun Di Bawah Tiga Angka

28

25 JULAI: Jumlah kes kematian COVID-19 mula menunjukkan penurunan kematian di bawah tiga angka hari ini apabila Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 92 kematian.

Kali terakhir negara merekodkan kes kematian di bawah kes tiga angka adalah pada 20 Julai lalu iaitu 94 kes setelah lima hari berturut-turut kematian di atas paras 100.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian hari ini melibatkan 90 rakyat tempatan dan dua warga asing menjadikan jumlah kumulatif kematian berjumlah 7,994 atau 0.79 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sebanyak 92 kes kematian yang dilaporkan pada hari ini, 27 kes daripadanya melibatkan negeri Selangor, 23 kes di Johor, 12 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 11 kes di Negeri Sembilan, dan lima kes di Melaka.

NOOR HISHAM

“Selain itu, empat kes di Kedah, tiga kes di Pahang, masing-masing dua kes di Sabah dan Sarawak, serta masing-masing satu kes di Perak, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan peningkatan kepada 17,045 dan daripada jumlah itu, 17,039 kes daripada adalah kes tempatan manakala enam lagi merupakan kes import.

Menurut beliau, jumlah kes yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ketika ini adalah seramai 970 orang termasuk dan 501 yang memerlukan bantuan pernafasan menjadikan jumlah kes aktif sebanyak  160,903 kes.

“Daripada 17,045 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 187 kes (1.1 peratus) adalah daripada kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), di samping 124 kes (0.7 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen),

“Selain itu, 122 kes (0.7 peratus) pula merupakan  kategori 3 (radang paru-paru), 7,489 kes (43.9 peratus) kategori 2 (bergejala ringan), dan 9,123 kes (53.5 peratus) kategori 1 (tidak bergejala), iaitu semasa kes-kes ini baharu didiagnosa.

“Keseluruhannya, 2.5 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4 dan 5 semasa baru didiagnosa, di mana ianya berjumlah sebanyak 433 kes yang perlu ditempatkan di hospital merawat COVID-19 yang semakin penuh dan sesak,” katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 34 kluster baharu dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu, 18 adalah kluster baharu di tempat kerja, 15 kluster di tempat kerja dan satu kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi.

Bagi kluster di tempat kerja, beliau memaklumkan enam daripadanya direkodkan di Johor iaitu Tapak Bina Kampung Sedeng, Persiaran Desa Tebrau, Tapak Bina Kluang Perdana, Jalan Gambir Lima, PLO Jalan Timah serta PLO Jalan Tengar manakala Selangor merekodkan empat kluster baharu di Bagan Sabak, Industri Jalan Bebas Lapan, Industri Mahkota Satu dan Jalan Besar Sabak Bernam.

“Manakala selebihnya adalah di Tapak Bina Jalan Meranti, Pahang; Pada Kubu, Terengganu; Lengkok Rishah Dua, Perak; Gipan Gelombong dan Tinabau, Sabah; Industri Taman Gunung Mas, Negeri Sembilan; dan Dah Kedundung Industri Alor Setar serta Dah Pinang Industri Alor Setar di Kedah.

“Bagi kluster di tempat kerja, lima daripadanya di Kelantan iaitu Kampung Kemahang Labok, Kampung Budi Tawang, Kampung Bukit Tok Ali, Kampung Tok Sadang, dan Jalan Damai Kampung Cherang manakala tiga lagi direkodkan di Sabah iaitu Jalan Tungku, Kampung Sogo-Sogo dan Gerban Kauran.

“Manakala selebihnya adalah di Dah Bukit, Kedah; Batu Enam Penjom dan B5 Keratong Tujuh di Pahang di samping Alor Bakong dan Padang Tembak Intan di Perak. Selain itu, Simpang Tiga Ranau di Sabah pula merupakan kluster baharu berkaitan kumpulan berisiko tinggi yang telah dikesan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.