Arab Saudi Bantu Malaysia Hadapi COVID-19

81

25 JULAI: Kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Raja Salman Abdulaziz Al Saudq bermurah hati menyalurkan sumbangan kepada Malaysia bagi membantu negara ini dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing.

Menteri Kanan Luar, Datuk Seri Hisamuddin Hussein berkata, berita baik mengenai sumbangan itu adalah hasil perbincangannya dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman, menerusi telefon, hari ini.

Menurut beliau, Raja Salman menitahkan Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan kepada Malaysia.

“Ini satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan Kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat baginda Raja Salman, Putera Mahkota Mohammad Salman dan Kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini.

“Insya-Allah, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang negara perlukan sekali gus memastikan titah baginda Raja Salman ini berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Saudi Gazette melaporkan, Ketua Penyelia KSrelief, Abdullah Al-Rabeeah, sebagai berkata titah Raja Salman itu menggambarkan betapa kukuhnya hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Menurut Abdullah, bantuan perubatan yang akan disalurkan kepada Malaysia turut merangkumi sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19.

“Kami akan bekerjasama dengan pejabat Menteri Luar Malaysia untuk mendapatkan kontrak dengan satu daripada pengeluar vaksin yang diluluskan untuk membekalkan jumlah diperlukan secara terus ke Malaysia,” katanya.

Malaysia ketika ini berdepan lonjakan kes COVID-19 dan mencatatkan 17,045 kes jangkitan harian tertinggi hari ini, sekali gus menjadikan kumulatif kes di Malaysia kini melebihi satu juta sejak mula dikesan awal tahun lalu.

Bagaimanapun, proses vaksinasi di Malaysia kini antara yang terpantas di dunia dengan lebih 16.9 juta dos diagihkan setakat semalam, merangkumi 11.5 juta dos pertama dan 5.4 juta dos kedua.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.