Annuar sahkan hadir sidang khas Parlimen esok

29

25 JULAI: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau akan hadir pada Sidang Khas Dewan Rakyat, esok.

Annuar berkata beliau negatif COVID-19 hasil saringan dijalankan ke atas semua Ahli Parlimen pada Jumaat lalu.

Sebelum ini beliau didakwa positif virus berkenaan, yang kemudian dilaporkan beberapa media.

Dua lagi yang turut disahkan negatif ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam Twitternya mengucapkan terima kasih kepada media yang segera memperbetulkan laporan berhubung perkara itu.

“Adalah lebih baik jika kita lebih berhati-hati dalam membuat laporan kerana jika tersalah lapor, boleh membawa salah faham dalam masyarakat.

“Islam mengajar kita supaya menyemak dulu setiap berita yang kita terima. Banyakkan bersabar jika difitnah. Jangan mudah berputus asa dalam melakukan kebaikan dan kebajikan.

“Semak setiap berita…jaga tutur kata…jangan kelak sendiri binasa…saya maafkan anda,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.