14 wanita Myanmar diseludup masuk untuk berkahwin

15

25 JULAI: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan di sebuah rumah sewa di Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah dipercayai diseludup masuk bagi tujuan berkahwin.

Kesemua remaja dan wanita berusia 13 hingga 31 tahun itu ditahan bersama tiga lelaki pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) warganegara sama yang dikatakan bertindak sebagai tekong penyeludupan migran.

Turut ditahan, tiga kanak-kanak iaitu seorang berusia 10 tahun manakala dua lagi berusia lima tahun.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, serbuan dan tangkapan dilakukan hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Tanah Merah pada jam 5.45 petang, 11 Julai lalu.

 “Tiga lelaki Myanmar didapati pemegang kad UNHCR manakala kesemua wanita dan tiga kanak-kanak tidak ada dokumen pengenalan diri.

“Tujuan datang ke Malaysia dipercayai untuk berkahwin di negara ini dan ada juga yang datang untuk bersama suami di sini,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar semalam.

Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati migran-migran menyeludup masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan ujian swab COVID-19 dijalankan serta kesemua tangkapan diasingkan.

“Hasil saringan mendapati tujuh perempuan didapati positif COVID-19, bagaimanapun tidak menjangkiti tahanan lain mahupun petugas memandangkan pengasingan lokap dibuat dari awal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata, kesemua 14 orang perempuan warga Myanmar akan dituduh di Mahkamah Majistret hari ini kerana tidak ada dokumen perjalanan yang sah.

“Prosiding akan dijalankan secara maya mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan sebat sehingga enam kali,” katanya.

Tambahnya, tiga tekong terbabit masih lagi dalam siasatan dan akan didakwa di mahkamah selepas mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.