9 lokaliti di Perak,Pahang,Kedah dan Sabah dikenakan PKPD

82

24 JULAI: Kerajaan umum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti di Perak, Pahang, Kedah dan Sabah mulai Isnin ini hingga 8 Ogos.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dua lokaliti di daerah Kintar, Perak yang dikenakan PKPD ialah di Medan Klebang Restu di Mukim Chemor dan Bandar Pulai Jaya, di Mukim Sungai Raja.

Beliau berkata dua lokaliti di Pahang dikenakan PKPD selama dua minggu ialah di Blok 5 Felda Keratong 7 di Muadzam Shah, Rompin manakala asrama pekerja dan tapak binaan Hospital Pendang, di Pendang, juga akan berada dalam PKPD.

“Di Sabah pula membabitkan dua lokaliti di Beaufort iaitu Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias serta Perumahan Ladang Kim Loong (Beluran), Kampung Tungkang (Kudat), Kampung Telisai (Tungku, Lahad Datu) juga berada dalam PKPD.

“Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di beberapa lokaliti di Sabah bermula esok iaitu QI Farm Membalau, Tawau; Kampung Pikat, Papar; Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud serta Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya di Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan PKPD berkenaan dibuat selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak wabak COVID-19 daripada merebak keluar dari kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sebanyak 49 premis termasuk kilang diarahkan tutup berikutan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, semalam.

Beliau berkata tindakan berkenaan diambil hasil 80,868 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 dengan kekuatan 19,168 anggota Pasukan Operasi Pematuhan di seluruh negara semalam.

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menahan 337 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar SOP semalam termasuk 332 individu dikompaun dan lima direman,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.