Polis panggil Timbalan Speaker kes langgar SOP kali kedua

137

23 JULAI: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon bakal dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Batu Pahat berkenaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) selepas dirakam sedang menikmati hidangan bersama beberapa individu di sebuah homestay (inap desa) di Johor, beberapa hari lalu. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, pihaknya berbuat demikian selepas polis mengesan satu hantaran gambar tular di laman sosial yang memaparkan Rashid sedang makan bersama dua wanita di sebuah ladang pertanian di daerah Batu Pahat, Johor.

“Hantaran berasingan juga mendapati ahli parlimen berkenaan sedang bergambar dengan seorang lelaki dan dua orang perempuan tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

“Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat kejadian yang berlaku di dalam gambar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Sulit kepada Rashid iaitu Mohd Zaihan Mohd Zainal menafikan Ahli Parlimen Batu Pahat berkenaan melanggar SOP apabila dirakam sedang menikmati hidangan dengan beberapa orang di sebuah lokasi di Johor.

Mohd Zaihan mendakwa kejadian itu berlaku hanya membabitkan Mohd Rashid, isteri dan anaknya di sebuah rumah inap desa (homestay).

Beliau berkata, ketika gambar itu dirakam mereka tiga beranak sedang makan sementara menunggu masa untuk sesi penyembelihan lembu korban.

“Selain menyumbang lembu, YB (Mohd Rashid) juga mahu menyembelih (korban) dengan tangannya sendiri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.