PKPD 13 lokaliti di Sabah, KL, Sarawak Ahad ini

27

23 JULAI: Kerajaan umum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti di Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak bermula Ahad ini hingga 7 Ogos depan.

Daripada jumlah itu 11 lokaliti terletak di Sabah iaitu enam lokaliti di Kota Kinabalu, dua di Sandakan dan masing-masing satu di Kudat, Keningau, Sandakan dan Papar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata enam lokaliti di Kota Kinabalu yang dikenakan PKPD ialah Taman Sepanggar, Blok D dan E Apartmen Angkasa dan Bandar Sinsuran.

Katanya, PKPD di Kota Kinabalu turut membabitkan Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan dan Kampung Lokub.

“Lokaliti lain di Sabah yang turut dikenakan PKPD ialah Kampung Kolam, Kudat; Taman Sabana Fasa 1, Keningau; Kampung Berhala Darat dan Kampung Melayu Bumiputera, Sandakan dan Kampung Ngapas, Jalan Kebun Lama di Papar.

“PKPD turut dikenakan di Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 dan 2, Mukah, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman web MKN di www.mkn.gov.my.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut memutuskan menamatkan PKPD di dua lokaliti iaitu Apartmen Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil di sini dan PKPD Blok 11 dan 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan.

PKPD di dua lokaliti terbabit yang bermula pada 11 Julai lalu akan ditamatkan esok, mengikut tarikh yang dijadualkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengesahkan Pasukan Task Force diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 577 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP termasuk 542 individu dikompaun manakala 35 lagi direman.

Sebanyak 66 premis kilang, perniagaan diarah tutup hari ini kerana didapati melanggar SOP.

Beliau berkata Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 78,021 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,210 orang.

Ini termasuk pemeriksaan ke atas 1,756 buah kilang, 16,010 premis perniagaan, 776 tapak pembinaan dan 256 buah asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 66 premis meliputi kilang (16), premis perniagaan (49) dan tapak pembinaan (1) diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,”  katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.