Orang ramai dibenar rakam gambar, video proses vaksinasi

67

23 JULAI: Kerajaan sedia memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia merakam gambar atau video ketika menerima suntikan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi sebagai bukti mereka menerima dos vaksin seperti ditetapkan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata langkah berkenaan sebagai bukti kukuh mereka sudah menerima kadar vaksin yang sempurna, selain mengelak timbul isu suntikan vaksin ‘kosong’.

“Untuk tidak berlaku apa-apa keraguan, saya telah mengarahkan pertamanya seperti biasa kita pastikan SOP sedia ada untuk (petugas kesihatan) tunjuk penerima vaksin picagari sudah diisi kuantiti (vaksin) sempurna sebelum suntikan.

“Kedua, kebenaran dari saya dan Menteri Kesihatan, kalau ada arahan tidak diberikan kemudahan ini, penerima vaksin boleh video penerimaan suntikan mereka.

KHAIRY

“Anda boleh rakamkan video diri anda menerima vaksin, jadi anda dan kami mempunyai bukti kukuh bahawa vaksin yang sempurna telah diberikan,” katanya ketika sidang media mingguan  Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) secara maya hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau percaya kebenaran itu juga diberikan agar tidak menganggu perjalanan program PICK ketika ini.

“Saya mahu anda (petugas kesihatan) tahu, bahawa saya sentiasa ada di belakang anda. Ini cuma satu atau dua kes kecuaian manusia, ia tidak boleh menyebabkan segala susah payah dan kerja keras anda semua tidak bermakna. Terima kasih semua petugas barisan hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy juga menjelaskan hanya satu kes daripada 13 laporan polis dibuat berhubung isu suntikan vaksin COVID-19 kosong disebabkan kecuaian.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata kes itu berlaku di pusat pemberian vaksin (PPV) Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.

“Bagi kes yang tular iaitu kes di Sungai Petani, inilah satu-satunya kes yang mana jururawat terbabit mengaku berlaku kecuaian disebabkan keletihan dialaminya.

“Amaran sudah diberikan kepada jururawat terbabit oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan jururawat terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Khairy berkata, terdapat dua kes membabitkan PPV di Banting, Selangor dan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), terpaksa diberikan dos tambahan disebabkan ketidakpastian oleh petugas kesihatan berlaku kecuaian atau sebaliknya.

Jelasnya, dos tambahan itu terpaksa diberikan kerana berlaku sedikit kekeliruan.

“Ada beberapa kes selesai sebab salah faham dan sudah dipadamkan dari media sosial pengadu. Ada juga kes pengadu buat laporan polis sebab tiada kesan sampingan vaksin.

“Saya ingin memberi penjelasan kesan sampingan ini berbeza dari satu orang ke orang lain. Sebagai contoh, saya sendiri tidak dapat sebarang kesan sampingan selepas menerima vaksin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.