MP, Pegawai Pengiring Mula Jalani Ujian Saringan COVID-19

120

23 JULAI: Ahli-Ahli Parlimen dan semua pegawai pengiring mula menjalani ujian COVID-19 hari ini sebagai langkah pencegahan dalam memastikan persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula 26 Julai ini berlangsung dalam keadaan selamat.

Antara Ahli Parlimen yang telah hadir ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul dan Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ujian yang dilakukan oleh kakitangan Hospital Kuala Lumpur diketuai oleh Datuk Dr R. Murugesu.

KA SIONG antara Ahli Parlimen yang menjalani swab test di Dewan Serba guna Parlimen hari ini.

Berdasarkan surat dikeluarkan Dewan Rakyat yang ditandatangi Setiausahanya, Nizam Mydin Bacha Mydin, semua Ahli Parlimen disediakan kemudahan bagi menjalani ujian COVID-19 itu pada hari ini bermula 9 pagi hingga jam 5 petang di Dewan Serba guna, Parlimen.

Surat tersebut memaklumkan, ujian COVID-19 terbabit adalah wajib dan kegagalan berbuat demikian atau jika didapati positif, mereka tidak akan dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Rakyat itu kelak.

“Hanya seorang pegawai pengiring bagi setiap Ahli Yang Berhormat dibenarkan membuat ujian COVID-19 di Parlimen.

“Setiap pengiring Ahli Parlimen digalakkan menjalani ujian ini di Parlimen namun ia juga boleh dibuat di mana-mana kemudahan jagaan kesihatan kerajaan dan swasta,” katanya menerusi kenyataan, baru-baru ini. 

Pada masa sama, surat itu turut menyatakan pegawai pengiring yang ingin menjalani saringan di luar perlu menggunakan kaedah Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR). 

Katanya, saringan COVID-19 itu perlulah dilakukan bermula hari ini bagi menghadiri persidangan Khas Dewan Rakyat pada Isnin ini. 

“Ujian COVID-19 ini perlu diuruskan oleh pegawai masing-masing dengan menghubungi terus dengan hospital atau klinik yang berkaitan

ZAHIDI turut menjalani ujian swab test COVID-19.

“Keputusan ujian ini mesti dibawa dan ditunjukkan kepada anggota keselamatan yang mengawal di Sekatan Jalan Raya (SJR) di jalan masuk ke Kompleks Parlimen.

Terdahulu, Mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bilangan kehadiran pegawai ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas adalah mengikut keperluan yang ditetapkan oleh sekretariat.

Bagi individu yang bergejala hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapat rawatan.

Dewan Rakyat tetap akan bersidang seperti yang dijadualkan bermula 26 Julai ini walaupun terdapat laporan kes positif COVID-19 di kalangan petugas Parlimen. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.