COVID-19: MAFI salur bantuan RM5.2 juta

38

23 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengagihkan bantuan pelbagai barangan keperluan dan makanan bernilai RM5.2 juta kepada individu terkesan akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh negara menerusi Program MAFI Prihatin sejak 1 Jun 2021 hingga 18 Julai 2021.

MAFI dalam satu kenyataan berkata inisiatif MAFI Prihatin berkenaan memberikan manfaat kepada 59,816 penerima menerusi 264 program dianjurkan di seluruh negara setakat ini.

Katanya, Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak bulan Januari 2021 adalah bertujuan membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Sumbangan bantuan ‘in-kind’ dalam bentuk barangan keperluan harian dan makanan juga disalurkan kepada petugas barisan hadapan  sebagai menghargai tugas dan pengorbanan mereka dalam memerangi penularan COVID-19 di Malaysia.

“Bantuan melalui MAFI Prihatin juga telah diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program MAFI Prihatin diperkasakan lagi dengan penglibatan pihak swasta selaras dengan pendekatan ‘whole-of-nation’ dalam usaha negara memerangi pandemik COVID-19.

Terbaharu, sebanyak 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara tampil memberi sumbangan pelbagai barangan keperluan harian dan makanan bernilai RM205,400 kepada MAFI untuk disalurkan kepada golongan sasar memerlukan bantuan.

Antara pihak syarikat dan korporat yang terlibat ialah PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn. Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn. Bhd.

Turut memberikan sumbangan ialah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn. Bhd, Yayasan
Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn. Bhd. (Best Sekinchan) dan Vfive Group Sdn. Bhd.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Wisma Tani, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Bantuan MAFI Prihatin disalurkan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah MAFI antaranya Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Bantuan juga disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.