Tingkat kesatuan ummah, buang budaya politiking

16

22 JULAI: Budaya politiking yang boleh mengorbankan kesatuan ummah perlu ditinggalkan oleh semua pihak kerana kesan daripadanya terpaksa ditanggung oleh rakyat ketika negara masih lagi berdepan dengan suasana pandemik COVID-19. 

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, noktah-noktah persamaan seharusnya dikukuhkan secara bersama untuk memastikan negara ini dapat berhadapan dengan kemaraan COVID-19 yang tidak mengenal warna kulit, warna politik dan agama.

“Hanya menerusi pengorbanan dan perpaduan kita dapat mengharungi ujian ini dengan sabar dan teguh untuk menang bersama. 

“Dalam berdepan dengan situasi getir ujian COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia termasuk negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kepada rakyat untuk bersatu padu dan bekerjasama berganding bahu menghadapi pandemik yang mengancam kehidupan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Beliau menambah, proses Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka oleh kerajaan tidak mungkin dijayakan melainkan semua pihak sanggup melakukan pengorbanan besar iaitu mengetepikan segala perbezaan, kepentingan diri dan cita-cita politik.

Hashim berkata, bagi mencapai kekuatan yang utuh dalam membina satu kesatuan fikiran dan tindakan, maka perpaduan sesama kita adalah elemen terpenting yang wajib dipenuhi.

“Justeru, saya menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan kumpulan politik untuk sama-sama kita menghayati dan mengisi semangat pengorbanan dan perpaduan. 

“Ini perlu dilakukan bersama dalam usaha kita memulihkan negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat Malaysia tercinta,” katanya. 

Dalam pada itu, Hashim menegaskan, pandemik COVID-19 yang tidak mengenal bangsa, agama, kaya mahupun miskin, menuntut semua pihak supaya mengenepikan perbezaan dan perselisihan demi negara yang tercinta.

Beliau berkata, sesungguhnya setiap kejayaan itu tidak akan mampu diperoleh melainkan dengan pengorbanan dan perpaduan.

“Ia memerlukan pengorbanan yang besar bersesuaian dengan intipati sambutan Hari Raya Aidiladha yang menuntut umatnya untuk mengorbankan haiwan ternakan sebagai manifestasi kepada kisah unggul keyakinan dan keimanan Nabi Ibrahim menerima arahan Allah SWT untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail.

“Pengorbanan adalah merupakan satu bentuk usaha yang tertinggi dalam mencapai cita-cita yang murni. Perpaduan pula adalah kekuatan yang terpenting ketika berdepan apa jua situasi yang mencabar.

“Saya doakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan mengangkat musibah ini daripada kita semua,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.