Jika benar diugut, Syed Saddiq kena berani lapor polis

1,541

22 JULAI: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mencabar bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis berhubung tuduhan beliau diugut dengan tindakan mahkamah melainkan menyertai Perikatan Nasional (PN). 

Latiff menegaskan jika kes ugutan ini tidak dilapor oleh Ahli Parlimen Muar itu dan diambil tindakan, ia mampu dijadikan perisai kepada mana-mana parti pada masa depan.

“Saya amat simpati terhadap beliau ekoran pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi. Biarlah mahkamah menentukannya. Beliau akan menjalani proses tersebut seperti ahli-ahli politik yang lain.

“Bagaimanapun, adalah amat wajar sebagai pemimpin (parti) MUDA, Syed Saddiq berani melaporkan di mana-mana balai polis apa yang telah didakwanya diugut berkali-kali…oleh siapa?

“Laporan perlu dilakukan supaya boleh disiasat kebenarannya. Ini juga membolehkan keadilan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan. Berani kerana benarlah, Syed Saddiq,” tegas beliau kepada PNBBC Portal, hari ini. 

Semalam, menerusi video di laman sosial Facebooknya, Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA) itu mendakwa kononnya, jika beliau tidak menyertai PN, beliau diugut untuk didakwa sejak setahun lalu.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, dakwaan mahkamah itu merupakan kemuncak kepada ugutan yang diterimanya setiap kali muncul isu undian di Parlimen.

Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.