COVID-19: Jepun negara pertama lulus Ronapreve

25

21 JULAI: Firma farmaseutikal gergasi Switzerland, Roche mengumumkan Jepun menjadi negara pertama meluluskan rawatan antibodi Ronapreve bagi pesakit COVID-19.

Ronapreve, rawatan antibodi yang dibangunkan dengan kerjasama firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Regeneron, diluluskan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, kata Roche dalam satu kenyataan semalam.

Kelulusan bagi ubat untuk mereka yang menghidap gejala ringan hingga sederhana itu dibuat berdasarkan dapatan ujian fasa 3 membabitkan koktel antibodi..

Ia berkesan bagi mengurangkan secara mendadak risiko pesakit COVID-19 bergejala ringan atau sederhana menjadi lebih serius sehingga terpaksa dikejar ke hospital atau mengundang maut.

Ketua Pegawai Perubatan Roche dan Ketua Pembangunan Produk, Levi Garraway, dalam satu kenyataan bersama, berkata Ronapreve menunjukkan ia mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan dan kematian.

“Keupayaan untuk mempertahan kemunculan varian baharu terutama varian Delta, ditunjukkan dalam kajian praklinikal..

“Ujian fasa 3 Ronapreve menunjukkan pesakit risiko tinggi yang tidak dimasukkan ke hospital dan dirawat dengan ubat berkenaan mengalami penurunan risiko hingga 70 peratus, “ katanya.

Rawatan sama turut memendekkan jangka masa penyakit bergejala kepada empat hari, kata Roche sambil menambah ujian fasa 1 menunjukkan keselamatan dan penerimaan ubat berkenaan dalam kalangan penduduk Jepun.

Selain Jepun, rawatan yang menggunakan kombinasi antibodi turut diluluskan untuk kegunaan kecemasan atau kegunaan sementara semasa pandemik di beberapa negara termasuk di Kesatuan Eropah (EU), AS, India, Switzerland dan Kanada.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.