25 lagi premis perniagaan, kilang diarah tutup langgar SOP

34

21 JULAI: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan mengarahkan 25 premis termasuk kilang dan premis perniagaan di seluruh negara ditutup kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, berkata premis berkenaan diarahkan berbuat demikian selepas kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

Berikutan itu Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 68,921 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,351 orang.

“Ini termasuk pemeriksaan ke atas 1,556 buah kilang, 11,369 premis perniagaan, 416 tapak pembinaan dan 145 buah asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 25 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengesahkan seramai 420 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP termasuk 332 individu dikompaun, 82 direman manakala enam (6) lagi individu telah dijamin dalam operasi pematuhan diketuai oleh polis di seluruh negara, semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, mengesahkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat lokaliti berbeza di Pahang dan Sabah bermula Jumaat hingga hingga 5 Ogos depan.

Beliau berkata empat lokaliti itu ialah Taman Merpati, Sandakan, Sabah; dan tiga di Pahang iaitu Felda Jengka 12, Jerantut; Kampung Belangkap, Rompin dan Kampung Orang Asli Ruai, Batu Talam, Raub.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut bersetuju menamatkan PKPD di tujuh lokaliti di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sabah, berkuat kuasa esok.

“Lokaliti yang ditamatkan PKPD ialah seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan; Kuarters Pekerja Malaysia China Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Kuantan, Pahang; dua taman perumahan di Kota Bharu, Kelantan iaitu Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf.

“Baki empat lokaliti yang ditamatkan PKPD ialah di Sabah membabitkan Kampung Sungai Imam, Tawau; dua perkampungan di Putatan, Sabah iaitu Kampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat; Kampung Balibata, Beaufort dan Kampung Pintasan, Kota Belud,” katanya.

Ismail Sabri berkata, MKN juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan dan Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah, yang sepatutnya berakhir esok  sehingga 5 Ogos depan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.