PPIM bantah sekeras-kerasnya letak TH bawah BNM

52

19 JULAI: Lembaga Tabung Haji (TH) bukanlah sebuah institusi kewangan Islam biasa dan tidak layak untuk diletakkan di bawah pentadbiran Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Justeru, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merayu agar kerajaan mengkaji semula cadangan untuk meletakkan institusi milik umat Islam di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

PPIM memaklumkan, jaminan kerajaan ke atas simpanan tidak boleh menjadi asas untuk mengawas tadbir urusnya di bawah BNM kerana terdapat akta khusus yang mengawal Tabung Haji.

“Tabung Haji adalah over and above kewangan perkhidmatan Islam kerana tujuan utama simpanan oleh umat Islam negara ini adalah untuk tujuan menunaikan tuntutan agama itu. 

“Tabung Haji bukan sahaja sebuah institusi simpanan tetapi sebuah institusi pelaburan yang bebas melabur dalam banyak bidang dan bukan seperti bank-bank biasa yang hanya cenderung kepada menjadi peminjam yang menawarkan perkhidmatan yang menekan pengguna.

“Kami dengan ini membantah sekeras-kerasnya keputusan Jemaah Menteri meletak Tabung Haji ini di bawah pengurusan BNM,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh membabitkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta 535.

Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam yang ditetapkan mengikut Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Namun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kajian semula model operasi TH adalah bertujuan bagi memastikan isu tadbir urus, integriti dan reputasi TH ditambah baik di masa akan datang.

Beliau berkata semakan semula Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan kemampanan dan daya maju institusi kewangan itu di masa depan sebagai asas perlindungan kepada semua pendeposit TH.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan juga komited bahawa simpanan pendeposit TH yang kini mencecah RM80 bilion dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut memberitahu, BNM mempunyai Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Majlis Penasihat Shariah dianggotai individu berpengalaman diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.