Polis ‘ziarah Aidiladha’ rumah ke rumah esok

72

19 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan melakukan pemeriksaan mengejut dari rumah ke rumah bagi memastikan tiada aktiviti ziarah sempena Aidiladha, esok selari dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata pemeriksaan secara rawak itu antara kaedah bagi membantu kerajaan mengawal penularan jangkitan COVID-19.

“Ya, kita akan buat pemeriksaan mengejut. Perkara itu akan dibuat secara umum dan rawak,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

RAMLI

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PDRM akan mengumumkan sama ada akan membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah esok sempena sambutan Aidiladha.

Timbalan Perdana Menteri dipetik berkata, perkara itu akan diputuskan PDRM kerana tindakan penguatkuasaan pematuhan prosedur SOP PKP berada di bawah bidang kuasa pasukan keselamatan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam membabitkan isu pelanggaran SOP PKP termasuk aktiviti ziarah esok.

“Tumpuan akan diberikan di kawasan perumahan (esok). Pada masa sama, pemantauan pematuhan SOP PKP akan diteruskan macam biasa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.