Polis buat pemeriksaan rumah ke rumah diumum esok

97

19 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengumumkan keputusan perlaksanaan pemeriksaan mengejut rumah ke rumah sempena perayaan Aidiladha esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan tindakan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada di bawah bidang kuasa PDRM.

“Sekarang ini, sekatan jalan raya (SJR) diperketatkan. Semalam sahaja, ramai (pengguna jalan raya) diarahkan patah balik (kerana tiada surat kebenaran).

“Polis akan lebih tegas sebab esok raya (Aidiladha). Berkenaan pemeriksaan rumah ke rumah pula akan diumumkan pihak polis,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Mindef (Kementerian Pertahanan) Prihatin, di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, PDRM melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di SJR seluruh negara.

Untuk rekod, jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai lalu, iaitu sebanyak 4,839 sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

Mengenai isu menteri melanggar SOP PKP, Ismail Sabri berkata, semua individu tidak kira latar belakang akan dikenakan kompaun jika didapati melanggar SOP berkenaan.

“Baru-baru ini ada seorang menteri dikompaun RM1,500. Polis dan agensi berkaitan ada kuasa untuk mengambil tindakan mengikut akta sedia ada,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.