Agong,Permaisuri harap rakyat terus cekal dan bersabar

23

19 JULAI : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Raja dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan rasa dukacita kerana buat kali keduanya umat Islam di Malaysia tidak dapat meraikan Aidiladha seperti kelaziman susulan pandemik COVID-19.

Baginda berdua juga berharap umat Islam terus cekal dan bersabar serta bersyukur kerana masih diberi kesihatan untuk menyambut Aidiladha tahun ini dalam suasana sederhana.

Baginda berdua juga mengingatkan umat Islam di negara ini tidak mengabaikan kawalan kendiri dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 dalam meraikan Aidiladha.

“Baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat lelah merawat pesakit-pesakit COVID-19, selain berusaha memerangi pandemik ini sejak tahun lalu.

“Umat Islam diminta bersama baginda berdua mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menyampaikan ucapan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini mahu pun di luar negara,” titah baginda berdua menerusi kenyataan yang dimuat naik Istana Negara di laman rasmi Facebook hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.