TPM nasihat rakyat jangan rentas negeri pulang berhari raya

38

18 JULAI: Rakyat Malaysia dinasihat supaya mematuhi arahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tidak merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan orang ramai merentas negeri khususnya menjelang sambutan Aidiladha pada Selasa ini, bertujuan memastikan kes positif dari kluster komuniti susulan sambutan perayaan dapat dibendung.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan juga melarang amalan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman.

“Sebaliknya, tindakan ini adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan yang dikasihi dan disayangi.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam itu, Ismail Sabri berkata semalam, PDRM yang mengawal rentas daerah dan negeri telah memeriksa sebanyak 381,952 kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

Untuk rekod, Ismail Sabri berkata jumlah bilangan kenderaan diarahkan berpatah balik paling tinggi dicatatkan pada 16 Julai 2021 iaitu sebanyak 4,839 sejak PPN dilaksanakan.

“Peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dalam memerangi pandemik ini – kitalah yang bertanggungjawab memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Lindung diri, lindung semua,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.