KPDNHEP kemuka cadangan benar makan di restoran minggu depan

31

18 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hawal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan cadangan benarkan orang awam makan di kedai makan atau restoran (dine-in) kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada minggu depan.

Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid berkata permohonan itu sebahagian langkah memulih dan merancakkan semula sektor yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata langkah berkenaan menunjukkan kerajaan cakna terhadap cabaran dan tekanan yang dihadapi pemain industri dalam memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

“Kita juga meminta supaya MKN buka kebenaran untuk dine-in kerana ini keluhan yang kita terima daripada pemilik-pemilik restoran.

“Kerana, apabila dine-in dibenarkan, maka rantaian itu akan berkembang. Apabila dine-in, ada orang yang basuh pinggan, ada jaga kaunter, ada tukang lap meja, ada tukang layan pelanggan dan sebagainya.

“Jadi, mereka menyeru dan memohon sungguh-sungguh untuk dibawa ke MKN,” katanya ketika ditemui di Hulu Terengganu, Terengganu.

Datuk Rosol Wahid

Justeru, pihaknya berharap MKN dapat mempertimbangkan kelulusan cadangan tersebut dalam kadar segera khususnya di negeri yang telah berada pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebelum ini, media  melaporkan lebih 100 pengusaha kedai makan, restoran serta kafe di Terengganu merayu agar pihak kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk makan dan minum di kedai berikutan negeri itu telah beralih kepada fasa kedua PPN.

Ramai peniagan menyifatkan perniagaan mereka ketika ini bagaikan telur di hujung tanduk susulan pelaksanaan PKP yang dilaksanakan secara berperingkat sejak Mac tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.