Hanya 80 Ahli Parlimen dibenar hadir satu sesi persidangan

28

18 JULAI: Hanya 80 Ahli Parlimen bakal dibenarkan hadir dalam satu sesi persidangan Parlimen apabila bersidang semula pada 26 Julai depan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata perkara itu adalah antara cadangan
Jawatankuasa Dewan Rakyat yang akan dibincangkan bersama Ketua Whip setiap parti politik, pada minggu depan.

Mohd Rashid berkata cadangan pecahan kehadiran adalah 44 untuk Ahli Parlimen kerajaan dan 36 dari pembangkang.

“Cadangan ini sama seperti ketetapan bersidang pada tahun lalu, daripada 222 Ahli Parlimen hanya 80 saja yang boleh masuk.

“Kita ada sesi pagi dan petang, maka mereka boleh bergilir-gilir masuk tetapi perlu patuh SOP,” katanya pada sidang media selepas melawat Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang, Johor Bahru, Johor di sini.

Datuk Mohd Rashid Hasnon

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula bersidang selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos ini.

Persidangan itu akan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Mengulas lanjut, Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, setiap menteri dan timbalan menteri juga akan dihadkan membawa staf.

“Mungkin hanya dua atau tiga orang pegawai saja dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat termasuk perlu melakukan ujian saringan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, semua soalan berkaitan COVID-19 akan dibentangkan mengikut peraturan dan dijawab menteri berkaitan.

“Yang mana tidak boleh berbahas kita bagi ruang untuk mengemukakan soalan. Cuma ada satu usul dibentangkan iaitu sama ada persidangan boleh dilakukan secara hibrid atau tidak,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.