Sidang DUN Kedah dijangka September Depan

43

17 JULAI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dilaksana secara bersemuka akan diadakan pada minggu kedua September depan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, tarikh persidangan akan dimaklumkan selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Beliau berkata, pihaknya menerima taklimat daripada Penasihat Undang-Undang Negeri pada Rabu lepas dan notis sidang DUN hanya boleh dikeluarkan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos.

MUHAMMAD SANUSI

“Paling awal boleh diadakan pada minggu pertama September, namun Kerajaan Negeri lebih selesa pada minggu kedua. 

“Namun, tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu bagi menyediakan jawapan bagi soalan lisan atau bertulis yang akan dikemuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Kedah, hari ini.

Kali terakhir persidangan DUN Kedah diadakan adalah pada 15 hingga 19 November 2020, ketika Muhammad Sanusi membentangkan Belanjawan Kedah 2021.

Ia dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya bagaimanapun menyerahkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang bertanggung jawab dalam urusan pentadbiran bagi menetapkan tarikh paling cepat.

“Apa pun keputusan berkaitan perkara itu saya kena sembah maklum dan mendapat perkenan Sultan Kedah sebelum memaklumkannya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.