80 NGO serah memoradum pada Agong Isnin ini

19

17 JULAI: Jawatankuasa Pemandu Pemulihan Ekonomi COVID-19 Nasional yang dianggotai lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Isnin ini.

Menurut jurucakap jawatankuasa itu, Datuk Tan Poh Seng, penularan pandemik COVID-19 yang berlaku lebih setahun lalu tidak menunjukkan tanda ia akan berhenti meskipun kerajaan melaksanakan beberapa langkah pembendungan antaranya dengan mengisytiharkan darurat.

Menurutnya, memorandum itu menggariskan sembilan kegusaran dan lapan cadangan berikutan kesan penularan pandemik COVID-19 khususnya terhadap sektor ekonomi.

“Kami tidak berpuas hati dengan kerajaan dalam mengawal pandemik tetapi melaksanakan denda yang tidak masuk akal dan keterlaluan terhadap yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Syarikat tidak mampu bertahan lagi dengan ‘lockdown’ (sekatan pergerakan), kerajaan mesti adil pada semua sektor perniagaan.

“Kami juga berharap supaya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mencapai konsensus tertentu untuk mencegah penyebaran wabak,” katanya pada sidang media secara maya pagi tadi.

Mengulas lanjut, Poh Seng berkata pemberian vaksin amat mustahak dan perlu dipercepatkan, justeru, kerajaan perlu membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dengan berkolaborasi dengan klinik perubatan swasta (GP).

Beliau berharap kerajaan dapat memberi keutamaan vaksin kepada kumpulan industri dan komersial termasuk pekerja asing dalam usaha mengaktifkan sektor ekonomi yang terjejas ketika ini supaya pengangguran dapat dikurangkan dan mengelak lebih banyak perniagaan ditutup.

Dalam pada itu, antara kebimbangan yang disenaraikan dalam memorandum tersebut adalah dakwaan pengisytiharan darurat yang tidak mampu menyelesaikan penularan pandemik COVID-19 dan ketidakpuasan hati rakyat dengan pendekatan yang kurang berkesan oleh kerajaan untuk memerangi pandemik.

Memorandum itu turut menggariskan cadangan antaranya mempercepatkan program vaksinasi dengan mengutamakan golongan industri dan komersial, memohon Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan moratorium automatik tanpa syarat kepada peniaga serta pelan bantuan kewangan mencukupi untuk menangani isu pengangguran dan pekerja swasta termasuk ahli keluarga.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.