Tiada ADUN BERSATU Johor sertai UMNO

71

16 JULAI: Dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa beberapa wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor akan bertindak keluar parti dan menyertai UMNO adalah tidak benar sama sekali.

Berikutan itu Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, menafikan dakwaan itu dan menegaskan kenyataan Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkenaan adalah tidak berasas.

Sahruddin menjelaskan beliau sudah bertemu beberapa wakil rakyat BERSATU Johor dan mereka menyatakan akan kekal setia dengan perjuangan parti.

“Tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen Bersatu Johor yang menyatakan hasrat untuk sertai UMNO. Mereka semuanya setia dengan Bersatu.

This image has an empty alt attribute; its file name is JHR_DATUK-DR-SAHRUDDIN-JAMAL036-1024x885.jpg
DR SAHRUDDIN

“Kita pun kenal siapa Mohd. Puad, beliau boleh cakap apa sahaja tetapi kita dengar sahaja,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar hari ini

Sebelum ini Mohd. Puad baru-baru ini menyatakan beberapa ADUN Bersatu Johor sedang menunggu masa sesuai meninggalkan parti itu untuk menyertai UMNO dan perkara tersebut bukan lagi rahsia.

Beliau turut mencabar empat ADUN Bersatu Johor yang sebelum ini mengancam menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor untuk berbuat demikian bagi membuktikan mereka benar-benar berani dan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Mengulas lanjut, Sahrudin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, semua pihak sepatutnya menumpukan perhatian dalam usaha membantu rakyat yang tersepit dengan COVID-19 seperti disarankan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.

“BERSATU Johor menjunjung tinggi saranan Tunku Ismail dan semua pemimpin politik perlu mematuhinya dalam usaha membantu dan memperkasa agenda untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin pula berkata, saranan Tunku Ismail perlu diambil serius khususnya dalam keadaan kes COVID-19 ketika ini mencatatkan peningkatan yang tinggi.

“Pas Johor merafak sembah dan menjunjung tinggi titah Tunku Ismail, semua ahli politik perlu fokus dengan usaha membendung pandemik Covid-19 dan sekarang bukan masa untuk bermain politik.

“Ini waktu terbaik berkhidmat kepada rakyat dan apabila kita dapat fokus kepada masalah COVID-19 ini, kita akan dapat beri manfaat kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.