RCI TH mampu pulihkan imej syarikat konglomerat Islam

31

Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan harapan tinggi bahawa cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) akan menaikkan semula reputasi syarikat konglomerat kewangan Islam utama di Malaysia dan global.

Menerusi RCI kelak, TH dijangka memulihkan semula imej dan membina kembali identiti pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dalam kalangan negara Islam.

Dalam hal ini, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yakin siasatan RCI kelak membolehkan TH yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam Deposit, Perkhidmatan dan Operasi Haji dan Pelaburan Dana akan memberi pulangan kepercayaan yang diyakini kepada lebih 10 juta pendeposit.

Pendeposit mempunyai hak mutlak menerusi RCI untuk mendapatkan kebenaran dan maklumat tepat berhubung tadbir-urus, integriti dan operasi yang berlaku antara 2014 hingga 2020.

Sehubungan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan keanggotaan RCI perlu turut disenarai-lantik dalam kalangan Ahli Dewan Negara sebagai penggubal undang-undang di dewan tertinggi perundangan negara yang membangkitkan sesuatu isu demi kesejahteraan rakyat dalam banyak perkara terutama kepentingan bersama dan masa depan.

YB SENATOR DATUK RAZALI BIN IDRIS
Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara
Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia
Ahli Parlimen Dewan Negara
16 Julai 2021

Get real time updates directly on you device, subscribe now.