PKPD 34 Mukim di Selangor Ditamatkan

123

16 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 34 Mukim di Selangor ditamatkan hari ini seperti yang telah dijadualkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 34 mukim di Selangor, tujuh daripadanya akan ditamatkan di Mukim Tanjung 12 (1), Mukim Tanjung 12 (2), Mukim Teluk Panglima Garang, Mukim Morib, Mukim Bandar, Mukim Jugra dan Mukim Batu di daerah Kuala Langat. 

Menurut beliau, enam mukim di daerah Hulu Langat juga akan ditamatkan PKPD iaitu Mukim Ampang, Mukim Cheras, Mukim Kajang, Mukim Semenyih, Mukim Beranang dan Mukim Hulu Langat serta empat mukim lagi di daerah Gombak iaitu Mukim Batu, Mukim Rawang, Mukim Setapak, Mukim Hulu Langat dan Mukim Kuang. 

” Di daerah Kuala Selangor dan Hulu Selangor, masing masing empat Mukim di dua daerah itu akan ditamatkan PKPD di Mukim Ijok, Mukim Bestari Jaya, Mukim Jeram,  Mukim Tanjung Karang, Mukim Serendah, Mukim Rasa, Mukim Ulu Yam dan Mukim Batang Kali. 

“Di Petaling Jaya pula, Mukim yang akan ditamatkan PKPD adalah Mukim Petaling, Mukim Damansara, Mukim Sg Buloh serta Mukim Bukit Raja dan bagi Daerah Sepang, mukim yang terlibat ialah Mukim Dengkil, Mukim Labu serta Mukim Sepang manakala di daerah Klang hanya dua mukim yang terlibat iaitu Mukim Kapar dan Mukim Klang. 

“Sidang Khas MKN telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di kesemua mukim yang terbabit,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 24 lokaliti di Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak akan dilaksana PKPD mulai Ahad ini. 

Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan enam lokaliti di Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan berikutan berlakunya penurunan kes. 

Dari jumlah itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan menegaskan tiga lokaliti yang akan ditamatkan di Sabah adalah Kampung Pantai Emas, Kota Belud; Kampung Iban Kuala Nansang,Tawau dan Kampung Babagon di Penampang. 

“Manakala selebihnya adalah di Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur dan Asrama Pekerja, Kuala Muda, Kedah serta Taman Nagasari dan  Mukim 6 di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

“Hanya Taman Desaria, Seremban, Negeri  Sembilan akan ditamatkan pada 18 Julai ini manakala selebihnya akan ditamatkan berkuatkuasa pada 17 Julai iaitu esok,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu sebanyak 24 lokaliti di Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak akan dilaksana PKPD mulai Ahad ini. 

Ahli Parlimen Bera itu, berkata, daripada jumlah itu, 14 daripada akan dilaksana di Pahang iaitu Taman Chengal di Temerloh manakala 13 lokaliti lagi adalah di daerah Kuantan iaitu Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sg Derhaka, Kempadang, Sg Soi, Kg Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas & Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum dan Taman Impianku. 

“Bagi Sabah, lokaliti yang akan dilaksana PKPD adalah Ladang Sawit KLK Lungmanis & Perumahan Kilang Mukim Silabukan, Lahad Datu; Kampung Pinolobuh Bukid, Kota Belud serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan, Kudat, Sabah manakala di Sarawak, tiga lokaliti akan dikenakan PKPD iaitu Kampung Seratau, Kampung Astana Lot dan Kampung Sungai Bedil Besar di Kuching. 

“Manakala selebihnya adalah di Selangor iaitu di Damai Apartment, PJS 8  Mukim  Damansara, Daerah Petaling; Jalan Pandan Indah Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang, Daerah Klang. 

“Justeru, semua lokaliti tersebut akan ditamatkan mulai lusa iaitu 18 Julai seperti yang telah dijadualkan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.