Pengeluaran permit solat di Masjidil Haram dihentikan hingga 24 Julai

57

16 JULAI : Permit mengerjakan solat di Masjidil Haram dihentikan pengeluarannya oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan hanya akan dikeluarkan semula pada 24 Julai akan datang sebagai persediaan negara tersebut menerima jemaah haji.

Ibadah haji pada tahun ini dihadkan hanya 60,000 jemaah ekoran pandemik COVID-19.

Di awal pandemik COVID-19 tersebar tahun lalu, hanya 1,000 jemaah dibenarkan mengerjakan haji.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi semalam mengumumkan lebih 21 juta dos vaksin COVID-19 diberikan di Arab Saudi menerusi lebih 580 pusat vaksinasi.

Bagaimanapun, kementeri tersebut menekankan supaya langkah berjaga-jaga terus diambil ketika perjumpaan keluarga pada sambutan Aidiladha seperti memakai pelitup muka, mengelak bersalaman dan menjaga penjarakan yang selamat untuk mengekang penyebaran wabak dan menjaga kesihatan serta keselamatan semua anggota masyarakat.

Arab Saudi melaporkan 15 lagi kematian akibat COVID-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 8,035.

Sejumlah 1,165 kes baharu dilaporkan dengan 506,125 orang di negara itu setakat ini dijangkiti wabak berkenaan.

Sebanyak 11,172 kes masih aktif, dengan 1,429 daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.