Indonesia rekod kematian harian tertinggi 1,205 kes

17

16 JULAI: Indonesia merekodkan 1,205 kematian akibat COVID-19 iaitu jumlah kematian harian tertinggi dengan kes positif baharu melebihi angka 50,000.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu kini meningkat kepada 71,397 orang.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi iaitu sebanyak 345 orang, diikuti Jawa Tengah (255), Jawa Barat (137), Jakarta (132) dan selebihnya di provinsi-provinsi lain.

Kes baharu COVID-19 di Indonesia pada Jumaat direkodkan sebanyak 54,000 menjadikan jumlah kes keseluruhan kini meningkat kepada 2,780,803 kes, dengan sebanyak 504,915 pesakit aktif.

Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Muhadjir Effendy dalam sidang media hari ini mengumumkan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) di Pulau Jawa dan Bali yang tamat pada 20 Julai, dilanjutkan lagi sehingga 30 Julai ini.

Pemerintah Indonesia sebelum ini menguatkuasakan PPKM Darurat sejak 3 Julai lepas berikutan peningkatan kes COVID-19 akibat varian Delta yang lebih cepat menular.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor kurang penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoran, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup, selain larangan merentas daerah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.