460,158 suntikan sehari, angka tertinggi setakat ini

35

16 JULAI: Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri apabila jumlah suntikan vaksin harian diberikan kepada orang ramai mencecah 460,158 dos sehari semalam, sekaligus menjadikannya tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Februari lalu.

Menerusi hantaran di laman Twitter, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 304,807 dos pertama manakala 155,351 dos lagi adalah untuk pemberian dos kedua.

Beliau berkata, sebelum ini jumlah tertinggi untuk pemberian suntikan vaksin COVID-19 dalam sehari adalah 434,828 dos pada 14 Julai.

Berikutan itu Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok, meliputi 75 peratus daripada populasi dewasa dalam tempoh tiga bulan, iaitu menjelang Oktober.

Berdasarkan pengesanan data menerusi Bloomberg, unjuran itu dibuat mengikut purata kadar pemberian vaksin di negara ini yang mencecah 364,602 dos sehari.

Susulan ketibaan bekalan suntikan pelalian dan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), kadar inokulasi mencatatkan perangkaan tertinggi semalam menjangkau 460,158 dos.

Mengikut penelitian, Malaysia mula merekodkan kadar inokulasi pada tahap lebih 400,000 dos dalam tempoh 24 jam, sejak 12 Julai lalu.

Sekiranya dihitung, kadar inokulasi dalam tempoh seminggu yang lalu ialah 2,694,446 dos, sekali gus menjadikan purata tujuh hari sebanyak 384,920.9.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.