Sultan Kelantan titah rakyat tidak pulang beraya

21

15 JULAI: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah agar rakyat negeri itu tidak merentas negeri dengan balik beraya di kampung sempena Aidiladha ini.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda bertitah, sebaliknya rakyat Kelantan terus kekal mematuhi arahan kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekali gus dapat melindungi keluarga masing-masing.

“Anak-anak yang tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam keadaan pandemik ini, bukan bermakna tidak menyayangi mereka.

“Apabila kita (anak-anak) tidak berjumpa dengan mereka (ibu bapa), kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus COVID-19 yang kini mempunyai mutasi yang semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

“Memandangkan kes jangkitan COVID-19 di Kelantan yang masih berada di paras tiga angka, rakyat negeri ini perlu sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.Nik Mohd Shafriman berkata, berikutan kes dalam negara yang menunjukkan peningkatan amat membimbangkan sehingga 13,215 kes hari ini, Sultan Muhammad V turut menasihatkan supaya status pembukaan masjid dikekalkan seperti ketetapan yang sedia ada.

“Baginda meminta rakyat mengambil iktibar daripada kewujudan kluster masjid yang berlaku sebelum ini kerana virus ini tidak mengenal orang, tempat dan waktu.

“Di antara ajaran Rasulullah SAW, apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit adalah pencegahan.

“Adalah menjadi tanggungjawab agama, setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari tempat awam termasuk masjid, agar orang yang sihat tidak dijangkiti.

“Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud “yang sakit janganlah mendatangi yang sihat”,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Kelantan turut meminta rakyat bersabar menempuhi kesukaran ini dan bersama-sama berganding bahu memainkan peranan dalam membantu meringankan beban petugas kesihatan yang sedang berusaha untuk menyelamatkan nyawa beribu-ribu pesakit di seluruh negara.

“Baginda juga mengajak semua rakyat terus berdoa supaya kes jangkitan COVID-19 yang mendadak naik ini dapat dilandaikan dan imuniti kelompok akan berjaya dicapai secepat mungkin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.