RCI langkah tepat rungkai pelbagai isu tadbir urus TH

8

15 JULAI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah tepat bagi merungkai pelbagai isu dan persoalan timbul dalam tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata penubuhan RCI berkenaan adalah langkah tepat bagi menyiasat dakwaan Pakatan Harapan (PH) kononnya TH mengalami kerugian semasa di bawah pentadbirannya selaku menteri.

Jamil Khir yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai berkata beliau bersedian memberikan kerjasama penuh kepada RCI bagi membantu siasatan secara menyeluruh terhadap semua aspek yang berlaku dalam TH dari 2014 sehingga 2020.

Beliau berkata, RCI itu sangat penting untuk mendapatkan jawapan tuntas kepada semua persoalan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak terhadap tadbir urus TH, khususnya sewaktu syarikat itu berada di bawah tanggungjawabnya.

“Saya amat bersetuju dan akan memberi segala kerjasama kerana RCI ini boleh menjawab semua persoalan yang ditimbulkan terutama oleh parti parti politik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“RCI ini juga untuk mengajar kita semua yang sepatutnya bangga dengan TH kerana sembilan juta pendepositnya terdiri daripada orang Islam sahaja.

“TH sebuah syarikat bertaraf antarabangsa dan ada pelbagai aset di luar negara, sayanglah kalau rosak semua apabila aset-aset ini dijual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom

Ditanya berkenaan pelbagai tuduhan parti politik terhadapnya berkaitan tadbir urus TH sebelum PRU-14, Jamil Khir menyatakan beliau tidak berminat untuk membuat ulasan lanjut pada masa ini.

“Kita tunggulah hasil siasatan oleh RCI, itulah cara terbaik untuk mendapatkan jawapan sebenar,” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju menubuhkan RCI menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, siasatan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

“Antara terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit TH tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

“Kedua, menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.