Program Bakul Prihatin Negara libatkan 1.68 juta penerima

37

15 JULAI: Kerajaan sediakan peruntukan RM21 juta bagi mengagihkan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima di seluruh negara menerusi program Bakul Prihatin Negara dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri, berkata, program itu adalah komitmen kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan masyarakat yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata program berkonsepkan `masyarakat menyeluruh’ membabitkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat dan ia diuruskan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah KPWKM.

Beliau berkata setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.

“Dalam soal pengurusan kebajikan rakyat ni kita tak boleh berkompromi. Selagi masalah pandemik COVID-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih, saya cukup prihatin dan rasa agak bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan rakyat di negara kita tak kira apa latar belakang mereka, di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka,” katanya.

Muhyiddin meninjau barangan asas yang akan diagihkan kepada rakyat melalui program Bakul Prihatin Negara.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, daripada peruntukan RM21 juta itu, RM5 juta adalah peruntukan kerajaan manakala RM16 juta disumbangkan oleh syarikat korporat.

Muhyiddin berkata sehingga kini tidak termasuk Bakul Prihatin Negara, kerajaan telah menyalurkan sebanyak 2.315 juta bakul makanan membabitkan peruntukan RM173.4 juta yang memanfaatkan seramai 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lalu.

“Sebahagian besar dari kumpulan sasar yang ada baik M40, B40, atau T20 yang terkesan kerana tak boleh nak berniaga dan berhenti kerja, semua kita sampaikan bantuan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.