Parlimen bersidang seperti biasa mulai 6 September

102

15 JULAI: Yang Dipetua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengesahkan Parlimen kembali bersidang seperti biasa mulai 6 September 2021.

Azhar dalam satu kenyataan ringkas berkata keputusan itu dibuat selepas beliau sudah menerima pemakluman daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan Peraturan 11(2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memutuskan Takwim Dewan bagi Penggal Keempat, Parlimen ke-14 Tahun 2021.

AZHAR AZIZAN

Berikutan itu, Dewan Rakyat akan mengadakan Mesyuarat Pertama selama 15 Hari mulai 6 September hingga 30 September 2021.

Katanya, Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat pula akan berlangsung selama 32 hari mulai 25 Oktober hingga 16 Disember 2021.

“Istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, di Bangunan Parlimen, jam 10 pagi, pada 6 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara tumpuan utama dalam sidang Parlimen kali ini sudah pastinya pembentangan Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada awal November depan.

Persidangan kali ini juga dijangka dihangatkan dengan pembentangan dan perbahasan beberapa rang undang-undang baharu, termasuk pindaan Akta Racun 1958, Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan banyak lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.