Kerajaan pertimbang kelonggaran SOP individu lengkap dua dos vaksin

438

15 JULAI: Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menilai semula kelonggaran SOP kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Muhyiddin berkata antara kelonggaran berkenaan termasuk dari penggerakan dan beberapa aktiviti sosial.

Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali kepada kehidupan normal secara berperingkat sementara kerajaan menguruskan pandemik COVID-19.

“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran.

“Sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas,” katanya ketika dalam sidang media selepas meninjau persiapan program Bakul Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pagi ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata langlah berkenaan adalah petanda bahawa negara dalam landasan betul menguruskan COVID-19 mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ini inisiatif ke depan dan dalam dalam tempoh jangka masa ikut Pelan Pemulihan Negara (PPN), itu hanya sehingga akhir tahun,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.