Kedai komputer, telekomunikasi, alat tulis dibenar operasi

28

15 JULAI: Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membenarkan kedai komputer dan telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan setelah mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar untuk memastikan guru serta pelajar dapat menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tanpa gangguan. 

“Selain itu, sidang khas juga bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ke kawasan PKPD dengan syarat mendapat kebenaran polis bagi tujuan mengambil peperiksaan termasuk peperiksaan profesional,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PPN dan PKPD, hari ini. 

Sementara itu, Menteri Pertahanan itu memaklumkan 180 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, ini berikutan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, di mana sebanyak 2,246 kilang, 15,682 premis perniagaan, 924 tapak pembinaan dan 326 asrama penempatan pekerja telah diperiksa. 

“Jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar PKP semalam merekodkan jumlah 438 individu telah ditahan. Daripada jumlah itu, seramai 404 individu dikompaun dan 33 orang direman manakala seorang lagi telah diikat jamin. 

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.