Kawalan ketat di kota Mekah menjelang ibadah haji

19

15 JULAI : Arab Saudi mengenakan kawalan keselamatan yang lebih ketat di Mekah dan sekitar tempat suci tersebut bagi mengelakkan individu yang tidak dibenarkan memasuki kawasan suci tersebut.

Pada taklimat di Pusat Operasi Keselamatan Bersatu di Makkah, Komander Pasukan Keselamatan Haji, Mejar Jeneral Zayed bin Abdulrahman Al-Tuwayan berkata, jemaah haji tidak dibenarkan berjalan kaki dari Masjid Besar ke Arafah, atau antara Arafat, Muzdalifah dan Mina.

“Jemaah hanya dibenarkan bergerak di antara lokasi dengan menaiki bas yang disediakan untuk tujuan terbabit.

“Bas itu mempunyai empat warna. Setiap daripadanya merujuk kepada daerah tertentu dalam kota suci,” katanya.

Jelasnya lagi, semua pintu masuk ke Makkah dipantau bukan hanya oleh petugas keselamatan, tetapi oleh kamera thermal (alat pengimbas haba) untuk menghalang individu tanpa permit haji memasuki tanah suci.

Begitu juga dengan lembah dan gunung yang mengelilingi Mekah akan sepenuhnya dikawal rapi bagi mengelakkan dibolosi mereka tanpa permit dengan dipantau pasukan Mujahidin dan dilengkapi dengan kamera untuk menggagalkan cubaan memasuki tanah suci.

Al-Tuwayan turut menggesa semua warga dan penduduk bekerjasama dengan pasukan keselamatan khususnya ketika menghadapi cabaran luar biasa yang disebabkan pandemik COVID-19 bagi kesejahteraan semua.

“Keselamatan jemaah tetap menjadi keutamaan, namun perkhidmatan daripada pihak kami disediakan bagi membantu mereka yang tersesat, selain mengingatkan jemaah menjaga barang peribadi dengan selamat sepanjang melakukan ibadat haji,” katanya.

Katanya, pasukan keselamatan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan untuk melindungi jemaah haji dan mencegah penyebaran COVID-19 ketika mengerjakan haji.

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan akan membenarkan 60,000 penduduk negara itu yang diberi vaksin untuk menunaikan haji tahunan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.