Individu ke Terengganu Disaran Lakukan Ujian COVID-19

3

15 JULAI: Mana-mana individu yang terpaksa merentas ke Negeri Terengganu atau pulang ke kampung digesa agar melakukan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ia susulan beberapa kluster sebelum ini termasuk yang terbaru iaitu Kluster Gajah Mati, Bukit Besi mempunyai kaitan dengan aktiviti rentas negeri.

“Apabila mereka pulang daripada negeri lain terutama kawasan merah ia membawa risiko yang besar kepada kaum keluarga, walaupun pada awalnya individu terbabit tidak bergejala.

“Jadi kita harap mereka yang berada di kawasan merah buat masa ini jangan balik lagi, kalau terpaksa balik juga kerana sebab tak dapat dielakkan, pastikan kita sudah mendapat dua suntikan vaksin. 

“Ataupun membuat penilaian risiko atau ujian saringan COVID-19 untuk memastikan kita bebas sepenuhnya dari wabak tersebut,” katanya menerusi Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Untuk rekod, dua lagi kluster baharu di Terengganu direkodkan semalam iaitu Kluster Kluster Bukit Tok Bat yang juga mepunyai kaitan dengan merentas negeri dan Kluster Murni Perdana. 

Dalam pada itu, Alias menegaskan sekiranya langkah itu tidak diambil penularan COVID-19 di Terengganu tidak akan berkesudahan.

“Peningkatan kes juga boleh menyebabkan Terengganu kembali ke fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan menyusahkan keluarga kita sendiri, jiran-jiran dan orang berhampiran juga akan terkena tempias.

“Inilah perkara yang sangat membimbangkan kita dan kita boleh lihat kes meningkat ke angka 189 kes hari ini.

Oleh itu, saya sangat merayu agar kita semua mengambil berat tentang perkara ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.